Sample text


Seuntai madah untuk dihayati...Setitis ilmu itu bisa mencairkan selautan kejahilan yang bersarang di pelupuk rona hati, Iman itu dinding taqwa sedangkan taqwa itu perisai hati, Yang memusnahkan pastilah nafsu, di layan jangan, di lawan pun jangan, di didik perlu, di asuh mesti, Apapun yang terjadi ikhlas menjadi ubat penawar segalanya Yakin kepada Allah,kebahagiaan pasti menanti di Taman Syurga...

Thursday, May 17, 2012

SURAT BUAT KEKASIH


Sayang, aku tenang di sini kerana kuyakin kau telah menerima hakikat ini dengan tabah dan bijaksana. Hentikan tangisanmu di sana. Demi ketenanganku disini. Yakinlah, perpisahan sebenar bukan kerana jaraknya destinasi. Tetapi oleh retaknya hati.

Perpisahan ini , insya-Allah akan menguburkan cinta… sekiranya kita menerimanya sebagai satu didikan Allah. Yakinlah, kita akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan manis. Perpisahan ini adalah mahar buat saat yang indah itu.

Semoga perpisahan ini menguatkan jiwaku.tiadalah ubat jiwa yang paling mujarab kecuali mencintai Allah. Dan dengan cinta itu nanti semoga  kita saling mencintai kerana Allah – cinta yang lebih suci.
Kita dipaksa berpisah untuk dijemput ke daerah tauhid dan syariat-Nya. Selama ini kita terlalu banyak  berlakon dan bermain-main dengan pelbagai alasan dan kemalasan. Aku pasrah dengan “Paksaan” ini walaupun suntikannya terlalu sakit, ubatnya pahit.

SAYANGKU,

Hadapilah kenyataan yang sudah termaktub sejak azali ini. Kesedihan dan air mata tidak akan meredhakan hati apalagi menyelesaikan masalah. Aku sentiasa berdoa untukmu.

YA ALLAH …

Ampunilah dosa-dosanya dan maafkanlah semua kesalahannya. Kuatkanlah iman dan taqwanya … dengan Kau suburkan selalu dalam hatinya rasa hina, berdosa, jahil, lemah, miskin, berharap terhadap-Mu.

YA RAHIM …

Berilah dia kekuatan dan kesabaran dalam mendidik anak-anak kami. Agar di tangannyalah nanti tempat zuriat yang soleh dan solehah. Bimbinglah kemarahannya, kebijaksanaannya, kesabarannya, kelembutannya,hukumannya dan segala-galanya dengan seimbang, agar dia terdidik untuk mendidik.

YA RAHMAN …

Maniskanlah akhlak isteriku semanis wajahnya. Hiasilah kata-kata dari lidahnya dengan kebenaran dan kelembutan, seperti Kau telah hiasi matanya dengan kecantikan. Berilah kecantikan dan keindahan hakiki dengan limpahan takwa yang sejati.

YA RABBI …

Lembutkan hati isteriku agar mudah ia mengadu-adu kepada-Mu. Lenturlah jiwanya agar ia mudah merayu-rayu dan meminta-minta kepada-Mu. Haluskanlah perasaannya agar dia mampu menangis dan merintih-rintih kepada-Mu. Hancur dan remuk-redamlah dirinya dalam menerima didikan-Mu kerana di situlah pengiktirafan dia sebagai hamba-Mu.

SAYANG,

Ramai pasangan berpisah kerana tidak cinta. Namun lebih ramai yang terpisah kerana terlalu cinta. Apabila cinta makhluk membelakangi cinta Allah, maka cinta itu akan kehilangan daya untuk bercinta sesamanya. Ia akan layu, kesepian, dan keseorangan. Pada cinta yang ilusi begini … pertemuan adalah perpisahan. Tapi apabila cinta itu cinta hakiki, berpisah pun masih bertemu.

Justeru, perpisahan ini untuk menyelamatkan. Perpisahan ini adalah mehnah yang akan menguatkan kembali ikatan perkahwinan. Ia adalah satu reaksi berantai kepada semua yang ada ikatan dengan kita. Agar semuanya bergantung dengan Allah semata. Jangan kita bergantung kepada selain-Nya.

Makhluk yang berhubung atas nama suami, isteri, ibu, bapa, anak, adik, abang, kakak, suadara, sahabat atau apa sahaja akhirnya akan pergi jua. Sesungguhnya , perpisahan adalah cara Allah mencantas pergantungan hati kita dengan insan yang bernama suami, isteri, ibu, bapa, anak dan saudara.

Hakikatnya saat itu pasti tiba. Mati boleh terjadi bila-bila. Ketika itu jika tidak bersedia … pedih dan sakitnya tentu terlalu. Mungkin hilang kewarasan, mungkin luntur semangat, kecewa untuk meneruskan hidup. Dan paling khuatir, terhakis iman, tercalarnya tauhid.

Sayang … bergantunglah kepada Allah kerana hubungan kita denganNya tidak akan dipisahkan dengan istilah janda, duda dan yatim. Sedangkan hubungan kita sesama manusia tidak dapat tidak, pasti diputuskan oleh MATI.  Justeru anggaplah perpisahan ini satu persediaan untuk menghadapi saat mati yang sudah pasti datang.

Syukur kerana dahulu pernah aku terlintas, bagaimana nanti kalau-kalau salah seorang daripada kita dipanggil oleh Allah? Apakah  ketika itu hati akan redha? Ah, lantaran benci merasai, fikiran dikunci daripada memikirkannya … padahal itu sudah pasti. Oh Tuhan, benci betul rupanya kita kepada mati.

Angkuh betul kita dengan milik pinjaman Allah ini. Seolah-olah isteri, suami anak-anak dan lain-lain itu benar –benar kepunyaan kita. Terlalu berat memulangkannya. Sebab memulangkannya bererti berpisah!

Tidak sanggup kita pulangkan kembali bila tarikh pulangnya sudah tiba. Kini, Alhamdulillah pinjaman itu dipinta kembali oleh Allah buat sementara … aku diserahkan kembali olehmu, dan kau diserahkan kembali olehku kepada-Nya.

Didikan ini sangat mahal harganya. Inilah inti pati iman kita kepada satu ayat al-Quran yang sangat pendek dalam surah al-Baqarah, ayat 156 yang bermaksud: “ Sesungguhnya kita kepunyaan Allah dan kepada Allah kita akan dikembalikan.”

Bersedialah untuk menghadapi yang terburuk akibat perpisahan ini. Namun jangan sekali-kali terputus daripada berharap sesuatu yang terbaik.

Doaku dan doamu pasti dicelahi oleh rasa bimbang takut-takut tidak diperkenankan tetapi padamkanlah segalanya dengan satu keyakinan bahawa ia pasti diperkenankan. Amin. Yang penting … bukan diperkenankan atau tidak, tetapi semoga Allah tingkatkan kesabaran, keimanan, dan tawakal kita untuk menghadapi apa jua takdir-Nya.

Isteriku, jangan dipinta kecilkan ujian yang menimpa ini, tetapi pintalah dibesarkan iman untuk menghadapinya! Kehebatan seseorang sering diukur oleh kebesaran ujian yang dihadapinya. Semakin besar ujian, semakin besarlah kehebatan seseorang. Maka begitulah dengan cinta kita. Semakin diuji, maka semakin membumbung tinggi. Semakin jauh, cinta kita akan menjadi semakin kukuh. Insya-Allah, amin.

~Bercinta Kerana Allah~

1 comments: