Sayang, aku tenang di
sini kerana kuyakin kau telah menerima hakikat ini dengan tabah dan bijaksana.
Hentikan tangisanmu di sana. Demi ketenanganku disini. Yakinlah, perpisahan
sebenar bukan kerana jaraknya destinasi. Tetapi oleh retaknya hati.
Perpisahan ini ,
insya-Allah akan menguburkan cinta… sekiranya kita menerimanya sebagai satu
didikan Allah. Yakinlah, kita akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan
manis. Perpisahan ini adalah mahar buat saat yang indah itu.
Semoga perpisahan ini
menguatkan jiwaku.tiadalah ubat jiwa yang paling mujarab kecuali mencintai
Allah. Dan dengan cinta itu nanti semoga kita saling mencintai kerana Allah – cinta
yang lebih suci.
Kita dipaksa berpisah
untuk dijemput ke daerah tauhid dan syariat-Nya. Selama ini kita terlalu
banyak berlakon dan bermain-main dengan
pelbagai alasan dan kemalasan. Aku pasrah dengan “Paksaan” ini walaupun
suntikannya terlalu sakit, ubatnya pahit.
SAYANGKU,
Hadapilah kenyataan
yang sudah termaktub sejak azali ini. Kesedihan dan air mata tidak akan
meredhakan hati apalagi menyelesaikan masalah. Aku sentiasa berdoa untukmu.
YA ALLAH …
Ampunilah dosa-dosanya
dan maafkanlah semua kesalahannya. Kuatkanlah iman dan taqwanya … dengan Kau
suburkan selalu dalam hatinya rasa hina, berdosa, jahil, lemah, miskin,
berharap terhadap-Mu.
YA RAHIM …
Berilah dia kekuatan
dan kesabaran dalam mendidik anak-anak kami. Agar di tangannyalah nanti tempat
zuriat yang soleh dan solehah. Bimbinglah kemarahannya, kebijaksanaannya,
kesabarannya, kelembutannya,hukumannya dan segala-galanya dengan seimbang, agar
dia terdidik untuk mendidik.
YA RAHMAN …
Maniskanlah akhlak
isteriku semanis wajahnya. Hiasilah kata-kata dari lidahnya dengan kebenaran
dan kelembutan, seperti Kau telah hiasi matanya dengan kecantikan. Berilah
kecantikan dan keindahan hakiki dengan limpahan takwa yang sejati.
YA RABBI …
Lembutkan hati
isteriku agar mudah ia mengadu-adu kepada-Mu. Lenturlah jiwanya agar ia mudah
merayu-rayu dan meminta-minta kepada-Mu. Haluskanlah perasaannya agar dia mampu
menangis dan merintih-rintih kepada-Mu. Hancur dan remuk-redamlah dirinya dalam
menerima didikan-Mu kerana di situlah pengiktirafan dia sebagai hamba-Mu.
SAYANG,
Ramai pasangan
berpisah kerana tidak cinta. Namun lebih ramai yang terpisah kerana terlalu
cinta. Apabila cinta makhluk membelakangi cinta Allah, maka cinta itu akan
kehilangan daya untuk bercinta sesamanya. Ia akan layu, kesepian, dan
keseorangan. Pada cinta yang ilusi begini … pertemuan adalah perpisahan. Tapi
apabila cinta itu cinta hakiki, berpisah pun masih bertemu.
Justeru, perpisahan
ini untuk menyelamatkan. Perpisahan ini adalah mehnah yang akan menguatkan
kembali ikatan perkahwinan. Ia adalah satu reaksi berantai kepada semua yang
ada ikatan dengan kita. Agar semuanya bergantung dengan Allah semata. Jangan
kita bergantung kepada selain-Nya.
Makhluk yang berhubung
atas nama suami, isteri, ibu, bapa, anak, adik, abang, kakak, suadara, sahabat
atau apa sahaja akhirnya akan pergi jua. Sesungguhnya , perpisahan adalah cara
Allah mencantas pergantungan hati kita dengan insan yang bernama suami, isteri,
ibu, bapa, anak dan saudara.
Hakikatnya saat itu
pasti tiba. Mati boleh terjadi bila-bila. Ketika itu jika tidak bersedia …
pedih dan sakitnya tentu terlalu. Mungkin hilang kewarasan, mungkin luntur
semangat, kecewa untuk meneruskan hidup. Dan paling khuatir, terhakis iman,
tercalarnya tauhid.
Sayang … bergantunglah
kepada Allah kerana hubungan kita denganNya tidak akan dipisahkan dengan
istilah janda, duda dan yatim. Sedangkan hubungan kita sesama manusia tidak
dapat tidak, pasti diputuskan oleh MATI.
Justeru anggaplah perpisahan ini satu persediaan untuk menghadapi saat
mati yang sudah pasti datang.
Syukur kerana dahulu
pernah aku terlintas, bagaimana nanti kalau-kalau salah seorang daripada kita
dipanggil oleh Allah? Apakah ketika itu
hati akan redha? Ah, lantaran benci merasai, fikiran dikunci daripada
memikirkannya … padahal itu sudah pasti. Oh Tuhan, benci betul rupanya kita
kepada mati.
Angkuh betul kita
dengan milik pinjaman Allah ini. Seolah-olah isteri, suami anak-anak dan
lain-lain itu benar –benar kepunyaan kita. Terlalu berat memulangkannya. Sebab
memulangkannya bererti berpisah!
Tidak sanggup kita
pulangkan kembali bila tarikh pulangnya sudah tiba. Kini, Alhamdulillah
pinjaman itu dipinta kembali oleh Allah buat sementara … aku diserahkan kembali
olehmu, dan kau diserahkan kembali olehku kepada-Nya.
Didikan ini sangat
mahal harganya. Inilah inti pati iman kita kepada satu ayat al-Quran yang
sangat pendek dalam surah al-Baqarah, ayat 156 yang bermaksud: “ Sesungguhnya
kita kepunyaan Allah dan kepada Allah kita akan dikembalikan.”
Bersedialah untuk menghadapi yang terburuk akibat
perpisahan ini. Namun jangan sekali-kali terputus daripada berharap sesuatu
yang terbaik.
Doaku dan doamu pasti
dicelahi oleh rasa bimbang takut-takut tidak diperkenankan tetapi padamkanlah
segalanya dengan satu keyakinan bahawa ia pasti diperkenankan. Amin. Yang
penting … bukan diperkenankan atau tidak, tetapi semoga Allah tingkatkan
kesabaran, keimanan, dan tawakal kita untuk menghadapi apa jua takdir-Nya.
Isteriku, jangan
dipinta kecilkan ujian yang menimpa ini, tetapi pintalah dibesarkan iman untuk
menghadapinya! Kehebatan seseorang sering diukur oleh kebesaran ujian yang
dihadapinya. Semakin besar ujian, semakin besarlah kehebatan seseorang. Maka
begitulah dengan cinta kita. Semakin diuji, maka semakin membumbung tinggi.
Semakin jauh, cinta kita akan menjadi semakin kukuh. Insya-Allah, amin.
~Bercinta Kerana Allah~