Kita harus meniti detik-detik terakhir kekasih umat, Nabi Muhammad s.a.w. tika berpisah daripada dunia yang fana ke alam baqa (kekal) untuk berhimpun dengan kekasih. Setelah menempuh laluan berliku menerusi misi suci rahmatan lil ‘alamin, tanpa mengira penat dan lelah terus sahaja Baginda menyampaikan, melaksanakan hukum serta mentazkiyah hati umat.
NIKMAT BUAT SAYIDATINA AISYAH R.A
Diriwayatkan daripada Bukhari, apabila tiba detik terakhir kehidupan Baginda s.a.w. sayidatina Aisyah r.a. menyandarkan Baginda ke ribaannya. Dalam hal ini Sayidatina Aisyah r.a. pernah berkata : “Antara nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepadaku adalah Rasulullah s.a.w. wafat di dalam rumahku semasa giliranku dan di rangkulanku antara dada dan leherku. Allah mengumpulkan air liurku dan air liur Baginda ketika kewafatannya.”
Abdul Rahman bin Abu Bakar masuk sambil memegang kayu sugi. Ketika itu Saiyidatina Aisyah r.a. sedang meriba Rasulullah s.a.w. lalu dia melihat Baginda memandang ke arah Abdul Rahman dan dia sedar bahawa Baginda tertarik dengan kayu sugi itu. Aisyah r.a. pun berkata : “Mahukah aku ambilkan kayu sugi untukmu?”
Baginda mengisyaratkan dengan kepalanya tanda setuju. Lalu Sayidatina Aisyah r.a. menghulurkan kayu sugi kepadanya tetapi terasa keras olehnya. Sayidatina Aisyah r.a. pun berkata, “Mahukah aku lembutkannya untukmu?” Baginda mengisyaratkan dengan kepalanya tanda setuju.
Lalu Sayidatina Aisyah r.a. melembutkannya ,kemudian Baginda menyuruh supaya disugi (dalam satu riwayat yang lain menyebutkan: “Baginda bersugi dengan kayu sugi dengan cara yang lebih baik dari sebelumnya,”) ketika itu di hadapan Baginda ada bekas kecil berisi air. Baginda mencelupkan tangannya ke dalam bekas air itu, kemudian menyapukan ke mukanya sambil bersabda: “Tidak ada Tuhan selain Allah, sesungguhnya bagi kematian itu ada sakarat (mabuk).”
Baginda s.a.w. Ingin Bertemu Dengan Teman Yang Tertinggi
Sebaik sahaja selesai bersugi, Baginda mengangkat tangannya atau jarinya serta mendongak ke bumbung. Ketika itu bibirnya bergerak. Sayidatina Aisyah r.a. merapatkan kepadanya dan mendengar Baginda menyebut : “Bersama orang-orang yang Engkau berikan nikmat kepada mereka daripada kalangan nabi-nabi,siddiqid, syudaha dan solihin. Ya Allah ampunkanlah daku dan rahmatilah daku,serta pertemukan daku dengan Teman Yang Tertinggi, ya Allah, Teman Yang Tertinggi.”
Mengapa Baginda s.a.w. menyebut Rafiqul A’la (Teman Yang Tertinggi)?
Hal ini berlaku demikian kerana bagi mereka yang sampai kepada kemuncak ketinggian, sudah tidak kisah sama ada syurga mahupun nereka. Apa yang pasti, setelah mati ini, dia mahu bertemu kekasihnya. Seperti orang yang merindui kekasih, sentiasa ternanti-nanti khabar kekasih. Tidak kisah dimana tempat bertemu, apa yang penting adalah dapat bertemu dan bersama dengan kekasih .
Ia juga adalah syarat daripada hadis yang berbunyi : “Sesiapa yang rindu bertemu Allah, Allah rindu bertemu dengannya. Begitu juga sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, Allah juga tidak suka bertemu dengannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Itulah penghujung perjalanan kekasih bertemu Kekasih Agung buat renungan umat yang terus sahaja dikasihi insan mulia Muhammad s.a.w.
No comments:
Post a Comment