Sample text


Seuntai madah untuk dihayati...Setitis ilmu itu bisa mencairkan selautan kejahilan yang bersarang di pelupuk rona hati, Iman itu dinding taqwa sedangkan taqwa itu perisai hati, Yang memusnahkan pastilah nafsu, di layan jangan, di lawan pun jangan, di didik perlu, di asuh mesti, Apapun yang terjadi ikhlas menjadi ubat penawar segalanya Yakin kepada Allah,kebahagiaan pasti menanti di Taman Syurga...

Monday, May 16, 2011

MULIANYA HATI SEORANG ISTERI MUJAHID


Menjelang waktu Isyak,mujahid tua itu memasuki Madinah dengan kuda yang dinaikinya. Ketika dia menyusuri jalan-jalan di madinah, didapati kehidupan kelihatan tidak berubah.Walaupun dia pulang ke Madinah setelah 30 tahun meninggalkannya, ingatannya masih tajam. Dia menemui jalan kembali ke rumahnya. Rumahnya yang sangat sederhana itu, pintunya sedikit terbuka dan kelihatan sepi. Kegembiraan menguasai dirinya, kerana bakal bertemu kembali dengan isteri tercinta yang telah sekian lama berpisah. Sewaktu dia meninggalkan isterinya dahulu,isterinya masih muda dan sarat mengandungkan anak sulung mereka.
Lelaki tua itu meninggalkan Madinah kerana tuntutan Jihad.Dia berangkat bersama tentera Muslimin ke satu destinasi yang amat jauh di Asia Tengah  meliputi Bukhara, Samarkand dan daerah di sekitarnya. Pemergiannya berlandaskan tekad dan tawakal kepada Allah SWT
Anak lelaki penghuni rumah itu terkejut tatkala melihat seorang lelaki asing masuk ke dalam rumah mereka.
Ditengkingnya lelaki tua itu:
“Berani kau mencerobohi rumah kami pada waktu malam seperti ini, wahai musuh Allah?”
Tegasnya lagi: “Demi Allah, aku takkan melepaskanmu kecuali dihadapan hakim.”
Lelaki tua itu mempertahankan haknya dengan berkata:
“Aku bukan musuh Allah dan aku bukan penceroboh. Ini rumahku. Pintunya terbuka lalu aku masuk,”
Lelaki tua itu meneruskan:
“Wahai saudara, dengarlah! Rumah ini milikku yang aku beli dengan wangku, wahai orang Islam! Aku adalah Farrukh.Apakah kamu masih mengenali Farrukh yang pergi berjihad di jalan ALLAH 30 tahun lalu?”
Pada waktu itu, ibu si pemuda yang sedang tidur terbangun oleh bunyi hiruk-pikuk di luar.Segera dia menjenguk di tingkap,di dapati suaminya sedang berlawan cakap dengan anaknya sendiri.Lidahnya kelu.
Akhirnya dengan nada yang nyaring dia berseru :
“Lepaskan dia Rabi’ah…Lepaskan dia anakku, dia ayahmu! Saudara-saudara sekalian tinggalakan mereka.Semoga Allah memberkati kalian.Tenanglah, Abu Abdurrahman,dia puteramu, jantung hatimu…”
Lalu, al-Rabi’ah mencium tangan ayahnya.Si isteri, Ummu Rabi’ah, menyambut suaminya dengan penuh syukur. Ummu Rabi’ah tidak menyangka mereka akan bertemu kembali setelah sekian lama suaminya pergi berjihad itu.
Saat-saat bahagia antara Farrukh dengan Ummu Rabi’ah mula berputik semula, meskipun sekarang suaminya telah berusia 60 tahun. Pelbagai pengalaman selama tidak bersama dikongsi semula. Namun, saat itu muncul kebimbangan dalam hati Ummu Rabi’ah tentang wang yang  pernah diberikan suaminya dahulu dijanji olehnya untuk disimpan.Wang sebanyak 30,000 dinar itu telah habis digunakan untuk membiayai pendidikan putera mereka.
“Percayakah Farrukh bahawa pendidikan puteranya itu menelan jumlah yang begitu besar?”fikir Ummu Rabi’ah.
Namun, sejurus kemudian Farrukh berkata: “Aku membawa wang sebanyak 4,000 dinar.Ambillah wang yang aku simpankan kepadamu dahulu.Wang baki itu kita himpunkan untuk membeli kebun ataw rumah dan akan kita ambil sewanya.”
Kedengaran azan dilaungkan.Farrukh bergegas bangun untuk ke masjid. Dia bertanya: “Dimana Rabi’ah?”
Isterinya menjawab: “Dia sudah terlebih dahulu ke masjid.” Selesai solat, Farrukh ke raudah Nabi s.a.w., lantas berdoa berhampiran dengan makam Nabi s.a.w. kerana betapa rindunya dia kepada Baginda.
Waktu itu, dia melihat agak ramai orang yang sedang membanjiri kawasan dalam masjid bagi menghadiri kuliah seorang ulama. Dia belum pernah menyaksikan pemandangan seperti itu sebelumnya. Mereka duduk mengelilingi sang alim, sehinggakan tiada tempat kosong untuk berjalan. Antara yang hadir termasuklah yang sudah lanjut usia dan anak-anak muda. Semuanya duduk menghamparkan lutut dan mengadap ulama itu.
Farrukh cuba melihat wajah ulama itu,tetapi agak sukar kerana begitu ramai orang yang mengelilinginya .Apabila majlis ilmu itu tamat dan orang ramai mulai meninggalkan masjid,Farrukh mengambil kesempatan bertanya kepada seseorang.
“Siapakah syeikh yang berceramah itu?”
Orang itu bertanya kembali:
“Apakah tuan bukan penduduk madinah?”
“Saya penduduk madinah.”
Lelaki itu kehairanan, “Masih adakah penduduk di Madinah ini yang tidak mengenali orang alim ini?” soalnya.
“Maaf, saya sudah meninggalkan Madinah sejak 30 tahun yang lalu, dan baru pulang dari perjalanan fi sabilillah,” jelas Farrukh.
“Dia adalah seorang tokoh tabii dan antara ulama yang paling dihormati,muhaddith terbilang di madinah,faqih dan imam kami, meskipun masih sangat muda.Majlis ilmunya dihadiri oleh para ulama dari segenap tempat.”
Farrukh bertanya dengan tidak sabar: “Tetapi saudara belum menyebut namanya?”
“Namanya al-Rabi’ah al-Ra’yi. Ahli madinah memanggilnya Rabi’ah al-Ra’yi di sebebkan apa jua kesulitan mengenai teks al-Quran yang tidak difahami,maka pasti dia mempunyai penerangan yang berharga.”
“Bolehkan anda beritahu saya tentang asal usulnya?”
“Dia adalah al-Rabi’ah bin Farrukh yang juga digelar Abu Abdirrahman. Sebelum dia lahir, ayahnya meninggalkan Madinah untuk menyertai misi jihad fi sabilillah. Ibunya memelihara dan mendidiknya dengan pendidikan agama yang sempurna. Saya mendapat tahu bahawa ayahnya telah pulang.”
Tanpa disedari tergenang air mata Farrukh. Sampai dirumah, isterinya Ummu Rabi’ah yang melihat suaminya menitiskan air mata lantas bertanya: “Ada apa wahai Abu Abdirrahman?”
Suaminya menjawab: “Aku melihat puteraku berada dalam kedudukan ilmu dan kehormatan yang tinggi, tidak kulihat pada orang lain,” tegasnya.
Ummu Rabi’ah mengambil kesempatan yang amat ditunggu-tunggu untuk bertanya pada suaminya: “Menurutmu manakah yang lebih engaku sukai, wang yang banyak ataw ilmu dan kehormatan yang telah dicapai oleh anak kita?”
Farrukh menjawab: “Demi Allah, bahkan ilmu itu tidak layak dibandingkan dengan dunia dan seisinya,” jawabnya.
Begitulah kisah jenerasi tabii yang hidup penuh kemuliaan dan peranan seorang isteri yang mulia dalam menjalankan tanggungjawab tanpa kehadiran suami di sisi. Hidup dan mati mereka adalah pengorbanan untuk Islam.  Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment